Thursday, October 30, 2008

Cerita Kampung Ku - Pangkal Chuit

Kampung Pangkal Chuit, terletak di daerah Panyit, Machang adalah sebuah kampung yang kurang popular tetapi di waktu yang sama melahirkan beberapa orang kenamaan. Antaranya termasuklah Mat Noor Kwang yang mempunyai kehebatan tersendiri. Beliau dapat menjadikan duit hanya dari kertas surat khabar yang dikoyak. Pernah dikatakan beliau mengadakan kenduri selama tiga hari tiga malam dengan hanya menyediakan serba sekati peralatan iaitu beras, gula, garam daging, bawang dan beberapa perkakas lain. Beliau juga pernah ditahan polis kerana bertapa bersama dua muridnya dilubang kubur kampung ini.

Selain itu Sheikh Haji (Allahyarham), yang berasal dari sempadan Pakistan dan Afghanistan mennetap disini. Sehingga kini masih ramai anak cucunya yang masih tingal dikampung ini. Antaranya Nasir Khan bekas kakitangan TV3 adalah cucu kepada Sheikh Haji. Mereka dikatakan saudara mara kepada pelakon popular hindustan yang belum mendapat Dato, iaitu En. Salman Khan. Semasa En. Salman Khas mengunjungi Malaysia suatu ketika dulu untuk mengadakan konsert di Shah Alam dikatakan keluarga Sheikh Haji mengunjungi beliau.

Saya masih teringat sewaktu tahun 60an dan 70an, kemarau sentiasa melanda Kelantan terutamanya pada bulan April. Waktu itu perigi kekeringan. Boleh dikatakan kebanyakan penduduk mandi dan membasuh pakaian dengan air selut. Sungai Kelantan menjadi cetet dan orang ramai berlumba-lumba mencari etak. ( Etak ialah sejenis binatang berupa siput laut atau kerang tetapi bersaiz sedikit kecil. Ianya disalai sebelum dimakan sebagai snek. Mereka yang biasa memakan etak dengan hanya memasukkan beberapa biji ke dalam mulut dan kemudian kulitnya sahaja yang keluar manakala isinya di makan. Manakala mereka yang tidak berpengalaman sampai melilih air liur pun tidak juga dapat membukanya, Hanya dua bangsa yang makan binatang ini iaitu Jepun dan Orang Kelantan. Di Jepun harga etak teramat mahal. Makan sup etak semangkuk yang mengandungi lima biji boleh mencapai harga RM100. Binatang ini mempunyai khasiat terutamanya kalsium yang sangat tinggi)

Jadi setiap tahun mencari tradisi kepada penduduk kampung ini diadakan sembahyang hajat selepas solat Jumaat untuk memohon hujan.

Pada hari tersebut penduduk kampung kebiasaanya dari pagi bersiap sedia dengan menyembelih lembu, kambing atau ayam untuk mengadakan jamuan kenduri terutamanya untuk dijamu kepada mereka yang bersolat hajat nanti. Majlis ini diadakan ditengah sawah diantara Kampung BT.30 ke Pangkal Chuit.

Menakjubkan, sewaktu solat hajat tersebut, sudah kelihatan awan hujan berarak memenuhi kawasan. Sebaik saja solat selesai hujan pun mulai turun selebat-lebatnya hingga memenuhi telaga yang kering kontang sebelum ini. Orang ramai kebasahan dan perasaan gembira terbayang diwajah masing-masing.

Pernah suatu ketika, ada seorang hamba Allah mengunjungi rumah beliau untuk meminta nombor loteri. Sheikh Haji bukanlah orangnya untuk membantu jalan begitu. Tetapi pengakuan dari orang tersebut, beliau memenangi hadiah pertama apabila tiket yang dibelinya di Machang semasa perjalanan balik dari rumah Sheikh mengena.

Kampung Pangkal Chuit adalah simpang empat dari Tanah Merah Ke Kuala Krai dan dari Batu 30 ke Bukit Sireh, Kuala Krai. Kalau anda ke sana mungkin anda tidak menjumpai sign board bertulis Pangkal Chuit. Ini mungkin kerana Pegawai daerah atau Pegawai JKR yang bertanggung jawab kurang peka terhadap kehebatan kampung tersebut.

Di Malaysia hanya Kampung Pangkal Chuit saja yang ada kedai makanan yang menjual roti bernama 'Duda'. Roti ini seakan roti canai namun rasanya lebih sedap.

Walaupun banjir besar melanda Kelantan termasuklah semasa bah air merah, kampung ini langsung tidak terlibat.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato Nik Aziz mempunyai dua menantu di kampung itu manakala anak saudaranya juga berkahwin dengan orang di situ.

Asal Pangkal Chuit diambil dari nama limau chuit yang ditebang pohonnya sehingga meninggalkan pangkalnya sahaja. Hari ini kampung ini terang benderang diwaktu malam apabila Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan sekarang yang berasal dari kampung ini memasang lampu-lampu jalan yang satu kilometer jarak kesemua arah dari simpang empat. Berkibaranlah bendera-bendera Pas dan Barisan Nasional menumpang tuah diatas tiang-tiang lampu tersebut.

1 comment:

aqilah said...

ayah kawe asal kg.nie...