Friday, October 24, 2008

Peristiwa - Berkain Pelikat Di Myanmar

Myanmar.
Yangoon Nov,1996

Dalam rangka penyertaan Myanmar ke dalam Asean, saya bersama krew berita TV3 mengunjungi negara tersebut bagi melapurkan perkembangan semasa. Matlamatnya adalah menggambarkan negara ini berada dalam keadaan baik samaada dari segi politik, ekonomi atau sosial.

Kami berada di sini selama 10 hari. Diwaktu yang sama Menteri Luar Dato' Sri Abdullah Hj Ahmad Badawi mengunjungi Junta Tentera Myanmar dengan tujuan yang sama.

Apabila menjejaki bumi Myanmar, saya merasakan suasananya agak berbeza dengan negara-negara lain yang pernah saya kunjungi. Pertama kerana kaum lelaki di negara ini memakai kain sarung. Yang kedua ialah kerana terlalu banyaknya patung Buddha termasuklah Pagoda terbesar negara itu yang ketika itu menjadi antara tujuh tempat ajaib di dunia.

Apa yang menarik yang hendak diceritakan disini ialah suatu peristiwa yang tidak dapat dilupakan.

Suatu malam, kami menjemput Pengarah Perhubungan Media, Kementerian Luar Myanmar yang menjaga aktiviti kami disana untuk makan malam bersama kami. Tempatnya di Hotel Summit iaitu hotel penginapan kami disana. Kami sepakat untuk berkain sarung pada malam itu bertujuan memberi penghormatan kepada tamu kami. Jadi sebaik saja kami turun, pengarah tersebut telah berada di lobby hotel. Kami terus menuju kearahnya. Saya amat terkejut apabila pengarah tersebut menyembah kami dengan mengangkat kedua tangan sambil membongkokkan badannya. Saya anggap dia bergurau kerana melihat telatah kami berpakaian sebegitu.

Dalam majlis, sementara menunggu hidangan siap saya bersembang ringan dengannya termasuk soal budaya dan adat resam. Rupa-rupanya cara orang lelaki berkain pulikat, cara pemakaiannya ada sedikit perbezaan mengikut taraf kekuatan agama. Sebagai contohnya; orang biasa memakai kain dengan hanya menyelit hujung kain di bahagian sisi pinggang sepertimana wanita Melayu memakai kain batik. Manakala kumpulan atasan agama pula seperti sami keatas cara pemakaiannya seperti orang Melayu memakai kain pelikat iaitu dengan mengilas di hadapan (Mengilas bererti menggulung hujung kain).

Jadi lagak kami memakai kain itu macam Tok Sami di sana. Sebab itu lah beliau menyembah kami. Tidak hairanlah selepas itu ada dua tiga orang lagi menyembah kami di lobby tersebut sebaik saja majlis makan malam selesai.

Catatan.

Cara orang Myanmar berpakaian.

Orang lelaki : semua orang lelaki berkain pulikat samaada orang biasa atau pegawai kerajaan termasuk menteri. manakala baju yang dipakai dimasukkan kebahagian dalam kain pulikat seperti mana kita memasukan baju ke dalam seluar.

Dompet pula di selitkan dibahagian belakang.

Orang perempuan : Cara orang berempuan berpakaian seperti Mak Cik di kampung. berbaju dan di masukkan kedalam kain sarung.

Mereka hanya memakai selipar Jepun dan tidak berkasut.

No comments: