Friday, October 24, 2008

Budaya Orang Jepun

Bangsa Jepun mempunyai satu budaya dan satu bahasa. Jadi tidak ada perbezaan kelas antara mereka bila berbahasa berbanding dengan orang di Malaysia yang mempunyai pelbagai bahasa dan adat budaya. Malahan mereka yang boleh berbahasa Inggeris dianggap bertaraf tinggi sedangkan orang Jepun langsung tidak akan terangkat martabatnya sekiiranya mereka boleh berbahasa asing. Malahan ianya tidak lebih dari suatu kelebihan untuk berurusan dalam menjalankan tugas namun tidak menjadi suatu kewajipan. Walaupun mereka tidak memahami bahasa asing namun mereka tetap maju dari segala bidang.

Walaupun mereka hidup dalam serba moden, namun adat dan tradisi tidak pernah ditinggalkan malahan menjadi aturcara tetap dalam kelendar perayaan tahunan mereka. Orang jepun tidak mempunyai kasta dan mereka adalah setaraf. Justeru, tidak akan ada pilih kasih dalam mengambil pekerja atau memilih pemimpin politik. Walaupun terdapat empat kepulauan besar yang menyatukan mereka menjadi sebuah negara namun kesemuanya mengamalkan adat budaya serta bahasa pertuturan yang sama. Malahan kalaupun ada orang asli namun mereka juga di panggil bangsa Jepun.

Orang Jepun asalnya beragama Budha atau Shinto. Namun hari ini kedua-dua agama tersebut menjadi adat dan budaya dan bukan lagi sebagai pegangan hidup. Di rumah mereka tidak ada tempat penyembahan malah bau-bauan seperti yang diamalkan oleh orang-orang Cina sebagai contohnya juga tidak ada. Kerana orang Jepun sangat mementingkan kebersihan.

Secara asasnya orang Jepun mementingkan penghormatan sebagai budaya utama. Sebab itulah mereka akan tunduk hormat apabila bertemu antara satu sama lain.

Sepanjang saya bergaul dengan orang Jepun semasa menjalani latihan di negara tersebut tidak pernah mereka bercerita tentang orang lain. Budaya mengumpat atau buat ketupat ini kebanyakkan diamalkan oleh orang-orang di Malaysia. Selain itu Jepun tidak mudah terkejut. Sebagai contohnya sesuatu benda yang berharga tiba-tiba terjatuh dari tangannya lalu berkecai, mereka hanya selamba mengambil barang tersebut dan membuangnya.

Orang Jepun sangat menghormati orang asing. Sepanjang saya berada disana, ramai dikalangan mereka menjadikan saya keluarga angkat dan meraikannya dalam berbagai keadaan. Membawa saya ketempat peranginan, ketempat sukan dan meraikan dirumah mereka dengan jamuan istimewa sambil berkaraoke.

Selain itu budaya kerja menjadi satu tanggungjawab besar kepada kaumm lelaki. Mereka keluar seawal jam empat atau lima pagi menaiki Shinkansen sejauh beratus kilometer ketempat berkerja dan pulang ditengah malam. Manakala si isteri pula bertugas mengurus hal ehwal rumah tangga dengan menyelesaikan semua permasaalahan anak sekolah dan bil-bil. Pun demikian mereka menggunakan sepenuhnya dua hari dihujung minggu bersama keluarga.

Saya di tempatkan di Hiroshima semasa menjalani Latihan Perindustrian dibawah program pandang ke timur. Tempat ini tidaklah dikatakan hulu dan boleh juga dikatakan ditengah-tengah Jepun. Orang-orang disini sangatlah baik. Walaupun dialek pertuturan mereka agak berbeza bagaikan loghat Kelantan kalau di Malaysia, namun akhirnya saya dapat bertutur dan memahami dialek Hiroshima. Jadi keadaan ini menambah penghormatan mereka kepada saya. Saya sentiasa di jemput makan kerumah mereka lebih-lebih lagi di hujung minggu.

Itulah orang Jepun. sebenarnya mereka adalah manusia yang kurang berperasangka tidak baik kepada orang lain malahan setiasa bersikap positif dalam semua keadaan.

No comments: