Friday, November 7, 2008

KISAH KAMPUNG KU DI AKHBAR USA

Los Angeles 1997

Sementara meneruskan perjalanan ke Santiago, Chile yang melalui Miami, Florida saya bermalam di sebuah hotel yang tidak jauh dari Lapangan Terbang di Los Angeles, USA.
(Sebelum itu, sehari suntuk saya bersama dua rakan lagi melawat Hollywood, tempat pembikinan filem di USA. Tempat ini dikunjungi oleh pelancung dari seluruh dunia. Untuk mengambil tiket sahaja, kami terpaksa berbaris hampir satu kilometer. dan di dalamnya pula, pengunjung terpaksa menaiki keretapi yang disediakan bagi melawat kawasan yang berbagai dan begitu luas sekali).

Saya merayap di Drug Shop (Bukan kedai jual dadah - di luar negara Drug Shop ialah kedai yang menjual ubat-ubatan dan sedikit barang runcit termasuk rokok dan akhbar). Saya membeli sebuah tabloid bernama THRILL. banyak cerita karut marut dalam tabloid ini.

Saya tertarik dengan satu cerita yang berlaku di Malaysia yang ditulis sendiri oleh penulis tersebut semasa bertugas di Malaysia suatu ketika dahulu.

Rupa-rupanya cerita itu berlaku berhampiran dengan kampung ku.Terasa pelik dan ajaib. Kerana membaca surat khabar di USA mengenai cerita yang berlaku di kampung sendiri. Terasa pelik sebab seluas-luas alam ini dan sekecil-kecil kampung ku boleh bertemu kisahnya di negara asing.

Ceritanya begini;

Penulis tersebut seorang Mat Salleh yang berasal dari England ditugaskan sebagai Jurutera Penyelia di Lombong Bijih Besi, Temangan, Kelantan. Kisahnya berlaku diawal tahun '60an.

Jurutera itu kebiasaannya berulang alik dari Temangan ke Machang yang jaraknya 10km yang melului kawasan perkuburan Cina dan selekoh berhantu di Kg. Pertok. Tempat ini hanya tidak sampai dua kilometer dari kampung ku. Sebenarnya selekoh ini memang terkenal dengan tempat berhantu. Ramai yang sudah berpengalaman di sini. Saya sendiri sewaktu kecil, biasanya mengikut jiran ke Temangan dengan berbasikal walaupun bercuaca gelap dan hujan dengan tujuan tidak lain untuk menonton wayang cerita hindustan. dan kami sering juga melihay pokok senduduk berupa manusia sedang duduk dari pandangan jauh terutamanya diwaktu bulan terang, namun apabila mendekatinya didapati pokok senduduk. Bau wangi pokok dedap jangan lah cerita. sentiasa dilalui tetapi dalam keadaan beramai-ramai berbasikal tidaklah terasa seram bahkan kami pula bergurau untuk melihat jelmaan hantu namun tidak pernah pun terjumpa secara nyata.

Suatu hari Jurutera itu pulang lewat malam dalam cuacanya hujan. Ia memandu kereta jenis Morris. Setibanya di selekoh tajam itu ia terlihat seorang gadis yang kelihatan sungguh anggun melambainya. Entah macamana dia terus berhenti dan mempelawa gadis itu menaiki keretanya. Belum sempat pintu dibuka, gadis itu telah berada di kerusi hadapan iaitu di sebelahnya. Baunya amatlah harum. Gadis berambut panjang itu hanya pandang ke hadapan tanpa bercakap apa-apa. Ketika itu beliau tidak mengesaki apa-apa yang ganjil sehinggalah tiba di kawasan perkuburan Cina. Gadis itu memberi isyarat supaya beliau berhentikan kereta. Jurutera tadi terus berhenti betul-betul dihadapan pintu masuk ke kubur itu. Belum sempat membuka pintu keretanya, gadis itu terus keluar berjalan menuju kearah kubur tersebut. Tapi sebelum ia keluar satu senyuman manis dihadiahkan kepada Jurutera tadi. Masih jadi ingatan di fikiran Jurutera tadi. Rupa gadis tadi amatlah menyeramkan. Bertaring panjang, mata kemerahan, mukanya buruk sekali, biji mata hampir keluar, kuku panjang menjela kemudian meninggalkan bau busuk mayat yang teramat sangat. Apa lagi, Jurutera tadi memecut keretanya sehabis laju sehinggalah sampai di kuartersnya dan pengsan di dalam keretanya.

Keesokan hari semasa ia tersedar ada beberapa pegawai lombong dan beberapa kakitangan lain termasuk seorang doktor di sebelahnya.

Jurutera tadi mengalami demam selama beberapa bulan yang akhirnya beliau memohon pulang ke tanah airnya di Britain.

(Nota : Tabloid Thrill ini di pasarkan di seluruh dunia,)

No comments: